Pegawai kesihatan DBKL melihat kawasan longgokan sampah di kawasan pembinaan pada operasi bersepadu ke atas aktiviti di tapak pembinaan sekitar Alam Damai, Cheras. FOTO Zulfadhli Zulkefli
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 70 kompaun bernilai RM5 juta dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak pembinaan atas pelbagai kesalahan sejak Januari lalu.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL Osman Ismail berkata, pihaknya juga sudah melakukan 740 pemantauan di lokasi tapak bina dalam tempoh berkenaan.

"Antara kesalahan yang dikenakan kompaun mengikut Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 itu seperti mendirikan struktur tanpa kebenaran dan tahap keselamatan di tapak pembinaan berada pada tahap tidak memuaskan.

"Semua aspek di tapak pembinaan perlu diberi perhatian termasuk keselamatan dan penempatan pekerja, mereka yang gagal mematuhi syarat ditetapkan akan dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Aktiviti Di Tapak Pembinaan di Alam Damai, Cheras, hari ini.

Operasi bersepadu siri ke-10 itu membabitkan 138 anggota terdiri daripada penguat kuasa DBKL, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kesihatan.

Dalam operasi berkenaan, pemilik tapak binaan dikompaun berikutan tidak meminta kebenaran untuk membina penempatan pekerja di dalam bangunan dan membangunkan struktur di luar bangunan, selain membiarkan kawasan tapak binaan dalam keadaan kotor.

"Secara keseluruhan, pemaju didapati sudah mematuhi syarat yang ditetapkan apabila mereka menunjukkan perubahan selepas beberapa siri operasi diadakan sebelum ini.

"Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan pelaksanaan projek di tapak pembinaan mengikut arahan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 7:56 PM