Fardy Bungga


BADAK sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia bernama Iman masih mengalami pendarahan akibat ketumbuhan tumor dalam rahim yang dialaminya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga bagaimanapun berkata, masalah dehidrasi dan sembelit yang dialaminya sebelum ini sudah berjaya diatasi.

Katanya, ketika ini Iman hanya mampu makan sebanyak lima kilogram makanan iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah biasa pemakanannya.

“Iman sudah mula makan buah-buahan dalam kuantiti yang sikit. Oleh itu kita mengambil pendekatan untuk memasukkan ubat-ubatan ke dalam makanannya bagi membantu menghentikan pendarahan.

“Haiwan ini juga sudah mula membuang air kecil beberapa kali dalam sehari namun masih sukar untuk membuang air besar. Hanya sekali dalam tempoh masa dua hari,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Augustine berkata, badak sumbu ini juga sudah mula bersuara dan itu menunjukkan perkembangan yang baik.

“Kita berharap Iman akan makan lebih banyak esok,” katanya.

Iman sebelum ini dikesan menghidap tumor leiomyoma di rahim apabila mula mengalami pendarahan.

Iman adalah satu-satunya badak sumbu betina di negara ini selepas kematian Puntung akibat kanser kira-kira enam bulan lalu.

Berita berkaitan

Kesihatan Iman bertambah baik

Kasihan Iman

Iman ada tumor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 9:58 PM