ABDUL Azeez (tengah) bersama pelajar yang menerima bantuan persekolahan.
Nor Farhani Che Ad


Baling: Penagih dadah dikenal pasti di Baling akan dihantar ke Indonesia bagi proses pemulihan daripada gejala penagihan dadah.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, menerusi inisiatif itu, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, pejabat daerah, guru dan masyarakat dalam usaha menjadikan daerah itu sifar najis dadah.

“Seriusnya di Baling adalah aktiviti air ketum, hidu gam dan ada yang dah mula masuk ke sekolah menjual syabu semurah RM5.

“Untuk tahun depan, kita akan perangi musuh nombor satu negara iaitu dadah habis habisan di daerah ini.

“Kita akan menghantar penagih dadah yang kita kenal pasti ke pusat pemulihan di Indonesia seperti di pesantren di Bandung dan Surabaya untuk proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah dan Gunting Rambut Parlimen Baling di Dewan Kompleks Rakan Muda Batu 42, Pulai di sini, semalam.

Katanya, selepas golongan itu pulih, pihaknya akan mencari pekerjaan bersesuaian di daerah lain bagi mengelakkan golongan itu kembali terjebak dengan penagihan dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menggunakan pendekatan melalui penagih bagi mengesan kumpulan pengedar dadah.

“Kita akan bersama beberapa agensi terbabit dalam membanteras tokan dadah yang berleluasa di Baling.

“Mereka kebanyakannya datang dari luar, bagaimanapun mereka menggunakan penduduk Baling bagi menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar daerah ini,” katanya.

Ketua Pegawai AADK Baling Ardina Ishak berkata, setakat ini, 700 penagih berdaftar di bawah AADK daerah Baling.

Katanya, 80 peratus daripada jumlah itu adalah belia berusia 15 hingga 40 termasuk pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:38 AM