Izlaily Nurul Ain Hussein


PENGURUS kawalan keselamatan kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membunuh pengawal keselamatan, dua minggu lalu.

Tertuduh, S Muthusamy, 53, faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Ramli Jusoh, 54, di kilang di Jalan Timah, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, antara 9 malam hingga 10 malam, 16 Disember lalu.


PENGURUS kawalan keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh pengawal keselamatan. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari 2018 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada jaminan dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 1:51 PM