Ab Ghani (dua kanan) memeriksa sebahagian minyak masak dan petrol dirampas di sempadan sungai Pengkalan Kubor, Tumpat dan Thailand. FOTO/ Faris Zainuldin
Mohamad Zulhairie Manzaidi

MEMBELI sendiri bekalan minyak masak di Lembah Klang sebelum mengangkutnya dengan treler ke Kelantan untuk diseludup keluar ke Thailand.

Kaedah itu dipercayai digunakan sindiket penyeludupan yang aktif mengedar minyak masak secara haram di negara jiran.

Kegiatan berjaya dikekang menerusi operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pasukan Polis Marin dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula 21 Disember hingga semalam.

Sejumlah 4,981 kilogram (kg) minyak masak dianggarkan RM14,983 dirampas dalam serbuan di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang pada 12.24 tengah hari.

Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya mengesan ada penyeludup yang membeli sejumlah besar minyak masak di Lembah Klang selepas pengilang di Kelantan mengurangkan pengeluaran.

“Ada yang membeli sehingga 30 tan minyak masak dan dibawa menggunakan treler dengan upah RM1,800.

“Jika harga sekotak minyak 17 kilogram RM42 (di sini), mereka jual di Thailand pada RM52 sekotak dan selepas tolak upah, penyeludup masih kaut untung kira-kira RM4.

“Namun dalam operasi NBOS ini, kita berjaya kekang penyeludupan begini menerusi serbuan di Kampung Lubok Gong, 25 Disember lalu,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.


Ab Ghani (dua kanan) membuat pemeriksaan bersama Mohamad Pajeri (bertopi biru). FOTO/ Faris Zainuldin

Hadir sama, Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga Superintendan Mohamad Pajeri Ali dan Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman.

Susulan rampasan itu, Ab Ghani berkata, pihaknya memantau secara lebih kerap 16 kilang penapisan Kelantan bagi memastikan tiada bersekongkol dengan taktik penyeludupan begitu.

Katanya, operasi berlangsung di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang dengan kekuatan 33 pegawai dan anggota KPDNKK serta PPM.

Sepanjang tempoh itu juga, tujuh kes dicatatkan merangkumi empat kes di bawah Akta Bekalan 1961 dan tiga Akta Padi dan Beras Negara 1994 dengan semua nilai rampasan berjumlah RM37,049.

Empat individu berusia 35 hingga 60 tahun ditahan selain tiga kereta dan satu bot galah disita.

“Mereka ditahan di tiga pangkalan haram menerusi serbuan berasingan kerana menyeludup petrol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:36 PM