NOAH Ulhaq berusia tujuh bulan yang menghidap jangkitan kuman paru-paru dan sedang menjalani rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


IMPIAN pasangan berusia 33 tahun untuk memiliki anak lelaki dimakbulkan, namun sebaliknya mereka diuji apabila bayi terbabit menghidap pelbagai penyakit.

Noah Ulhaq Mohd Nor Hafiz yang kini berusia tujuh bulan disahkan mengalami komplikasi kesihatan seperti sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, tulang kaki kanan bengkok dan jangkitan kuman dalam paru-paru.

Bagaimanapun, Mohd Nor Hafiz Md Shari dan Suhaila Suid menerima ketentuan Ilahi dan berusaha untuk memastikan anak kedua yang dipanggil Adam itu sembuh.

Menurut Hafiz, sebaik mengetahui isteri hamil, dia sangat gembira dan sentiasa berdoa dikurniakan anak lelaki kerana anak sulungnya adalah perempuan.

"Sepanjang proses kehamilan, isteri menjalani pemeriksaan kandungan seperti biasa dan doktor memaklumkan jantina anak kami perempuan. Namun, doktor tidak mengesan sebarang komplikasi pada kandungan.

"Sebaik dilahirkan pada 21 Mei lalu, kami gembira apabila mengetahui jantinanya adalah lelaki. Namun, anak kami terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban akibat kaki kanannya bengkok," katanya ditemui di rumahnya di Paroi, Seremban, hari ini.

Hafiz berkata, selepas 49 hari dirawat di HTJ, Adam dibenarkan keluar tetapi perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana doktor mengesyaki Adam mengalami masalah genetik.

Lima bulan kemudian, katanya, Adam dimasukkan pula ke Hospital Shah Alam, Selangor, selepas tidak sedarkan diri dan doktor mendapati Adam menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru.

Bekas juruteknik di sebuah syarikat swasta itu mengakui terpaksa berhenti kerja kerana menumpukan perhatian kepada Adam dan perlu menanggung kos yang tinggi untuk merawat Adam.

"Saya sudah menjual kereta dan motosikal untuk menampung kos perubatan Adam serta berusaha mencari sumber kewangan lain kerana masih tidak mencukupi. Saya sanggup buat apa saja demi memastikan Adam dapat membesar seperti kanak-kanak yang lain," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Mohd Nor Hafiz bernombor 7024419087.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:19 PM