Kayveas (kiri) dan Palanivel yang kini Ahli Parlimen Bebas.
BERNAMA

ISU perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MyPPP dengan MIC tidak akan dibincangkan pada mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijangka diadakan pada 3 Januari depan.

Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas berkata, isu itu hanya akan dibincangkan secara tertutup antara kedua-dua parti berkenaan sahaja.

“Ia bukan membabitkan parti-parti komponen lain. Hanyalah dua parti sahaja yang terbabit sekiranya mahu bincang mengenai penentuan kerusi tersebut dengan BN secara tertutup.

“Namun, segala keputusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk menentukannya sama ada milik MyPPP ataupun MIC ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yakin Perdana Menteri akan membuat keputusan yang tepat dalam menentukan calon di kawasan berkenaan bagi memastikan BN mengekalkan kerusi itu sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004.

“Sekiranya kerusi itu (Cameron Highlands) diserahkan kepada MyPPP, kami akan bekerja keras untuk berkhidmat sepenuhnya kepada pengundi-pengundi kawasan itu kerana segala persiapan telah dilakukan di kawasan itu.

Malah, kami telah pun bertemu dengan 28,000 pengundi lama dan 5,000 pengundi baharu sejak tiga tahun lalu, saya yakin tiada komponen parti lain yang boleh menang besar di kawasan itu selain MyPPP,” katanya.

Sejak 2004, kerusi itu dimiliki oleh MIC yang kini disandang bekas presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC semasa krisis dalaman parti itu.

MyPPP sangat berminat dengan kerusi berkenaan dengan Kayveas kerap turun padang ke kawasan berkenaan kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:00 PM