Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan dengan Proton Saga.
Mohd Azam Shah Yaacob


SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kejadian kemalangan di Ara Damansara, Petaling Jaya 10 pagi tadi.

Mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan serta kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa tidak sempat mengelak kereta model Proton Saga dipandu seorang lelaki warganegara Pakistan yang keluar simpang.

Katanya, mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kereta menyebabkan dia tercampak ke lorong kanan jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang tiba di lokasi kejadian," katanya.

Menurut Mohd Zani, pemandu kereta Proton Saga berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat penunggang motosikal dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:30 PM