Alice menunjukkan gambar Adam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Alice menunjukkan gambar Adam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“SAYA kesal membiarkan wanita itu menjaga anak saya. Saya berharap dia pulangkan semula anak saya,” kata warga Thailand, Alice Jarong, 28, yang kehilangan anak keduanya Alif Hiransumton berusia empat tahun sejak dua tahun lalu.

Menurut Alice yang berasal dari Pattani, pelbagai usaha dilakukan sebelum ini untuk mengesan wanita tempatan yang dipercayai menjaga anaknya namun menemui jalan buntu.

Berikutan berita mengenai pencarian Alif atau panggilan manja Adam itu disiarkan media, harapan untuk bertemu anaknya kembali bersinar.

"Sebelum ini, saya meminta rakan di Malaysia untuk mencari wanita berusia 40-an itu yang juga bekas pekerja restoran ibu selepas dia menghilangkan diri bersama Adam.

"Saya juga membuat hebahan di Facebook (FB) mengenai kehilangan Adam tetapi masih gagal menemuinya. Bagaimanapun apabila berita disiarkan, saya dan polis menerima maklumat orang ramai memaklumkan lokasi rumah wanita itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alice berkata, dia ditemani anggota polis ke sebuah rumah di Kuala Pilah yang dipercayai didiami wanita itu tetapi hampa apabila diberitahu mereka berpindah ke kawasan lain di Bahau sejak Mac lalu.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali Zulaikha, 38, mendakwa jiran kepada wanita terbabit di Bahau.

"Saya selalu melihat kanak-kanak itu bersamanya ketika dia menjual ayam goreng di gerai di taman perumahan. Dia mendakwa kanak-kanak itu anaknya, jadi saya tidak pernah mempersoalkannya.

"Baru-baru ini, dia memaklumkan mahu pulang ke kampung kerana ayahnya sakit. Itu kali terakhir saya bercakap dengannya," katanya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan sedang mengesan wanita terbabit.

Harian Metro hari ini melaporkan, Alice merayu wanita terbabit memulangkan anaknya kerana terlalu merindui.

Alice mendakwa anaknya pernah dijaga bekas pekerja restoran milik ibunya sebelum wanita itu menghilangkan diri bersama Adam.

Berita berkaitan

'Tolong pulangkan Adam...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 8:10 PM
Digital NSTP Subscribe