Dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO/ Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

LELAKI yang dipercayai menyara keluarganya dengan hasil jualan dadah ditahan polis di rumahnya di Rumah Rakyat Bahau, Bahau, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek berusia 29 tahun terbabit tidak bekerja dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan sebagai mata pencariannya.

“Polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan suspek dan menjalankan risikan sebelum menyerbu rumahnya pada 2.30 petang.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan menemui tujuh peket dadah jenis heroin seberat 10.3 gram di dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, suspek mendakwa menjual dadah kerana mahu mendapatkan wang cara mudah berbanding kerja makan gaji.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari bermula semalam sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 2:53 PM