SYED Omar Sharifuddin Syed Ikhsan. FOTO INTAN
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


TIMBALAN Pengarah Kanan Institut Tadbiran Awam (INTAN) Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Perlis berkuatkuasa 1 Januari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan Dr Syed Omar Sharifuddin berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang.

"Ia termasuk pentabdiran awam dan pembangunan kepimpinan sektor awam di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

"Antara jawatan penting yang pernah diterajui beliau adalah Timbalan Pengarah Kanan INTAN; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (JPM)," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Ali berkata, Dr Syed Omar Sharifuddin berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian)

(Pengajian Kependudukan) dari Universiti Malaya; Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan

Sistem Maklumat) dari University of Dallas, Texas, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah

(Sains Maklumat) dari Loughborough University, United Kingdom.

Katanya, beliau mula dilantik sebagai Pegawai Arkib pada 1 Disember 1984 sebelum menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988.

"Pada masa sama, bagi pihak kerajaan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Ahmad Zamri Khairuddin di atas

sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai SUK Perlis,"katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 3:03 PM