Adam Nazhan Sulaiman, 12 (tengah) bersama rakannya gembira selepas mendapat bantuan peralatan sekolah baru pada program Jom Kembali Ke Sekolah di Seberang Takir. FOTO/ Ghazali Kori
Adam Nazhan Sulaiman, 12 (tengah) bersama rakannya gembira selepas mendapat bantuan peralatan sekolah baru pada program Jom Kembali Ke Sekolah di Seberang Takir. FOTO/ Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

PUSAT hemodialisis di Seberang Takir, Kuala Nerus yang dibina dengan kos lebih RM1 juta bakal memulakan operasi selewat-lewatnya Februari depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pusat yang dibina hasil sumbangan orang ramai dan badan korporat itu menempatkan sebanyak 24 mesin.

Beliau berkata, ia akan dikendalikan Pertubuhan Kesihatan Rehabilitasi dan Hemodialisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

“Sekarang, pusat berkenaan berada dalam proses penilaian akhir oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala masalah dapat diselesaikan sebelum ia dibuka.

“Ia adalah pusat hemodialisis pertama di negeri ini yang keluar daripada hospital kerajaan serta dikendalikan pihak swasta yang membuat pengasingan bagi pesakit HIV, hepatitis dan sebagainya.

“Jadi, kita harap pusat itu nanti bakal memberi lebih kemudahan kepada pesakit di kawasan ini dan sekitar bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas Program Jom Kembali ke Sekolah DUN Seberang Takir di Dataran Pertama Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Ahmad Razif berkata, semua kelengkapan dan peralatan juga bersedia untuk dibawa masuk ke pusat berkenaan.

Katanya, KKM juga akan menyediakan kakitangan iaitu doktor dan jururawat bagi mengendalikan pusat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:15 PM