KAWASAN lokasi kejadian tembak diri sendiri di di Kampung Poh Mu, Padang Sanai, Padang Terap, hari ini. Gambar kecil, senapang patah digunakan mangsa untuk menembak diri sendiri. FOTO Ihsan PDRM
KAWASAN lokasi kejadian tembak diri sendiri di di Kampung Poh Mu, Padang Sanai, Padang Terap, hari ini. Gambar kecil, senapang patah digunakan mangsa untuk menembak diri sendiri. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI pesakit mental, Mohamad Aidilfitri Romly, 25, maut dipercayai menembak diri sendiri dengan senapang patah di rumahnya di Kampung Poh Mu, Padang Sanai, Padang Terap hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi, mangsa ditemui berlumuran darah oleh bapanya Romly Ariffin, 56, di dalam bilik tidur.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan, Noh Idris berkata, bapa mangsa yang sedang berehat di kawasan kebun berhampiran rumahnya terdengar bunyi tembakan senapang patah miliknya dari dalam bilik.

Menurutnya, dia kemudian masuk ke dalam rumah dan menemui mangsa berlumuran darah dipercayai menembak diri sendiri di dada.

"Siasatan mendapati mangsa mengalami gangguan mental (halusinasi).

"Ketika kejadian, hanya mangsa seorang diri berada di dalam rumah," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 7:09 PM