Mangsa diberi bantuan perubatan dan makanan selepas enam hari terdampar. FOTO Ihsan ATB2
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


EMPAT nelayan Filipina diselamatkan anggota Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) selepas enam hari terapung di tengah laut akibat bot pukat tunda mereka karam dipukul ombak di perairan Kepulauan Mangsee, Filipina.

Mangsa yang terselamat iaitu tekong, Arnei Fetalvero Viana, 40, bersama tiga awak-awak Chfmate Josefph Aque, 30, Roger Chaves Cheif, 49, dan Thomas Taboso, 42, ditemui di pantai Pulau Billean, Sandakan, 12.50 tengah hari ini.

Difahamkan, anggota tentera yang bertugas di Pos Kawalan pulau berkenaan menemui semua mangsa ketika menjalankan rondaan sebelum dibawa ke pos untuk diberikan rawatan awal.

Anggota tentera turut menyuap makanan kepada mangsa yang dalam keadaan lemah dan melecur di beberapa bahagian badan serta kaki akibat bahang matahari ketika terapung di lautan.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, pada 23 Disember lalu, bot pukat tunda dinaiki mangsa bersama 16 lagi awak-awak yang masih hilang karam ketika mereka mencari ikan di perairan Kepulauan Mangsee, Filipina.

"Ketika kejadian itu, empat mangsa berpaut pada serpihan bot kemudiannya dihanyutkan sehingga terdampar ke Pulau Bellian sebelum diselamatkan.

"Empat mangsa dibawa naik ke pos penempatan dan diberikan rawatan perubatan oleh anggota perubatan angkatan tentera.

"Mangsa turut diberikan bantuan makanan dan minuman yang sewajarnya. Mangsa akan diserahkan kepada pihak keselamatan Filipina di Kepulauan Mangsee esok, jika keadaan cuaca mengizinkan. Namun sehingga malam ini, mereka masih ditempatkan di pos berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil makluman pihak keselamatan Filipina, kira-kira 30 hingga 40 bot di sekitar Kepulauan Mangsee hanyut dan karam akibat dilanda ribut tropika Tembin sejak 4 hingga 5 hari lalu.

"Kita juga dimaklumkan, setakat ini seramai 56 orang daripada bot-bot berkenaan ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 9:24 PM