TIGA mayat ditemui terapung di perairan Tanjung Malawali, Kudat.
Junaidi Ladjana


Kudat: Tiga mayat termasuk dua wanita tanpa pakaian selain sudah kembung ditemui terapung di tepi pantai di perairan Tanjung Malawali, dekat sini, jam 10.20 pagi kelmarin.

Mayat tanpa identiti itu ditemui penduduk Kampung Malawali sebelum polis dimaklumkan berkaitan penemuan.

Difahamkan, mayat lelaki dewasa dan wanita itu dipercayai lemas di laut Mangsee, Filipina sebelum dihanyutkan ke perairan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan sama ada mayat adalah mangsa ribut tropika Tembin yang melanda Filipina sebelum ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, anggota Balai Polis Kerakit diketuai Asisten Superintendan (ASP) Hasrul Izwadi Badaruddin bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan berkaitan penemuan itu.

“Mayat dua wanita itu ditemui 50 meter dari pantai manakala mayat lelaki ditemui 80 meter dari pantai.

“Mayat lelaki ditemui hanya berseluar pendek sementara mayat kedua-dua wanita tidak berpakaian,” katanya, semalam.

Menurutnya, tiada kesan luka atau kecederaan pada ketiga-tiga mayat.

“Mayat itu dibawa ke Hospital Kudat untuk bedah siasat dan sehingga kini, belum ada laporan yang dibuat berkaitan orang hilang.

“Identiti semua mayat belum dapat dipastikan. Individu yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi ASP Hasrul di talian 017-2455520.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:32 AM