SITI Roshaida menunjukkan menu yang dijual di gerainya di Kampung Deralik, Sitiawan.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Sitiawan: Kos sara hidup dan harga barang yang meningkat tidak menjadi penghalang kepada seorang pengusaha gerai makanan di Kampung Deralik di sini, memperkenalkan menu serendah RM2.

Meskipun dengan hanya RM2, keenakan dan saiz hidangan setiap menu yang dijual di Gerai RM2 Ros secukup rasa serta setanding seperti makanan disediakan di restoran biasa yang menawarkan harga lebih tinggi.

Pengusahanya, Siti Roshaida Md Isa, 31, berkata menu seperti laksa dan bihun, mi atau kuew tiew sup dan kari dijual RM2 semangkuk, manakala nasi ayam hanya RM2.50 saja.

Menurutnya, gerai itu diusahakan bersama bapa, Md Isa Omar, 62, ibu, Rosrina Ah Lin Abdullah, 55 dan dibantu anak sulung, Siti Natasya Elyna Mohd Rizal, 14 sejak empat bulan lalu.

Katanya, tujuan memperkenalkan menu itu semata-mata mahu memastikan semua orang tanpa mengira latar belakang ekonomi menjamu selera di gerainya.

“Saya suka-suka saja kembali berniaga sebagai senaman harian selepas menutup perniagaan mi udang dan ketam setahun lalu.

“Minat berniaga dan memasak membuatkan kami kembali berniaga, namun mengubah strategi dengan memperkenalkan menu RM2,” katanya yang berniaga di rumah bapanya di Kampung Deralik bersebelahan Sekolah Rendah Islam Al-Ummah.

“Air dijual bermula RM1 hingga RM2 saja termasuk air batu campur (ABC) dan ketika mula berniaga pelanggan sukar mempercayai harga ditawarkan serendah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 9:02 AM