Keadaan kaki mangsa yang melecur. FOTO ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria
mohdhelmi@hmetro.com.my


REMAJA lelaki berusia 13 tahun melecur di badan, kaki, tangan dan telinga akibat terkena api yang menyambar pada kain di ruang tamu rumahnya di Taman Politeknik, Port Dickson, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, dalam kejadian 4.07 petang, mangsa sedang bermain pemetik api.

Katanya, tidak semena-mena api menyambar pada kain yang berhampiran remaja itu sebelum mengenainya.

"Akibat kejadian, mangsa melecur di bahagian badan, kaki, tangan dan telinga. Pihak bomba menerima panggilan pada 4.09 petang mengerahkan enam anggota ke lokasi," katanya.

Mohd Kamal berkata, pihaknya yang tiba jam 4.17 petang mendapati mangsa sedang menahan kesakitan.

"Remaja ini dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut dan mujur kebakaran tidak terlalu serius," katanya.

Beliau berkata, sebaik kebakaran berlaku, ahli keluarga mangsa bertindak memadam api pada kain menggunakan air di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 6:44 PM