X
Tiga beradik bersama sepupu mereka yang diselamatkan selepas terperangkap di dalam hutan di Kampung Cerol sejak semalam. Turut serta ibu tiga beradik itu.  FOTO ROSLI ILHAM
Tiga beradik bersama sepupu mereka yang diselamatkan selepas terperangkap di dalam hutan di Kampung Cerol sejak semalam. Turut serta ibu tiga beradik itu. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham

TIGA beradik bersama sepupu yang terperangkap selama 36 jam ketika menjerat burung di kawasan hutan di Kampung Cerul, Chukai selepas laluan dinaiki air diselamatkan bomba pada 7 malam hari ini.

Sebelum itu, Mohd Khairul Azli Zamli, 22, bersama dua adiknya, Mohd Khairul Azri,18, dan Mohd Afiq Hakimi,16,serta sepupu mereka, Kamal Baharin Mohd Samsir,32, dikatakan masuk ke hutan berkenaanjam 7.30 pagi semalam untuk menjerat burung.

Kamal Baharin berkata, mereka cuba keluar dari hutan berkenaan selepas menjerat burung pada jam 9 pagi namun gagal berikutan laluan mereka ditenggelami air.

"Ketika mahu keluar, kami terkejut laluan ditenggelami air berpunca daripada fenomena air pasang besar di sungai berhampiran yang menyebabkan air melimpah.

"Kami cuba mencari jalan yang lain namun gagal kerana semuanya ditenggelami air sebelum kami menemui sebuah rumah kongsi dan mengambil keputusan bermalam di situ," katanya.

Menurut Kamal Baharin, mereka mengalas perut dengan makan limau purut yang tumbuh di kawasan itu ketika bermalam di hutan berkenaan.

"Suasana hutan yang gelap menakutkan kami kerana bimbang terserempak dengan binatang buas termasuk harimau.

"Alhamdullilah, saya berjaya menghubungi keluarga jam 9 pagi tadi bagi memaklumkan kejadian menimpa mereka dan bersyukur kami diselamatkan pada jam 7 malam tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbulah Hanipah berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, pihaknya menerima laporan pada jam 1.45 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 6 petang.

"Kami mengambil masa satu jam untuk membawa mereka keluar dari hutan berkenaan menggunakan bot.

"Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi berada dalam kelaparan.

"Kita menasihatkan semua pihak supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pada musim tengkujuh ini kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 11:04 PM