DADAH yang dirampas polis dalam serbuan di rumah di FELDA Lui Timur. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


CUBAAN lelaki memperluaskan aktiviti jualan dadah hingga ke Jempol tidak kesampaian sebaik dicekup polis di rumah di Felda Lui Timur, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek berusia 30 tahun sebelum ini giat mengedar bahan larangan berkenaan di Pahang.

Katanya, kehadirannya ke daerah ini berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum intipan dilakukan terhadapnya.

"Bertindak atas maklumat awam, pihak polis menyerbu kediaman itu pada 10.40 malam. Suspek ketika itu berada di beranda rumah dan sedang menunggu pelanggan," katanya.

Menurutnya, menyedari kehadiran pihak polis, suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari beranda rumah namun gagal.

"Pemeriksaan pada beg pinggang dipakainya menemui heroin seberat 5.38 gram dan syabu seberat 1.32 gram. Lelaki itu bersama dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu datang ke daerah ini selepas menerima permintaan tinggi di daerah ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 2:24 PM