Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Gabungan Belia IQ Perlis mengambil inisiatif menganjurkan Pasar Percuma Mega 2017 bagi membantu 80 golongan asnaf di daerah ini sebagai aktiviti akhir tahun, semalam.

Program berkenaan dianjurkan golongan belia dari universiti awam berusia antara 19 hingga 25 tahun untuk merasai pengalaman melakukan kerja amal dengan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sukarelawan GBIQ Perlis Muhammad Faez Idrus, 25, berkata penganjuran program itu adalah salah satu aktiviti membantu golongan kurang berkemampuan di negeri berkenaan.

Menurutnya, ia yang dianjurkan buat kali ke-6 turut bermatlamat untuk menggalakkan belia agar sentiasa prihatin dengan golongan kurang bernasib baik.


SUKARELAWAN mengagihkan beras kepada orang ramai.

“Kebiasaannya golongan yang menghulurkan bantuan sering dikaitkan dengan mereka yang bekerjaya dan berkemampuan.

“Namun, inisiatif ini dilakukan bagi memastikan golongan belia turun padang bagi merasai sendiri nikmat memberi atau menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan meskipun belum berpendapatan tetap dan bekerjaya,” katanya.

Program Pasar Percuma Mega 2017 anjuran GBIQ Perlis membantu lebih 600 asnaf di negeri itu pada awal tahun ini dan seramai 180 sukarelawan daripada golongan belia bergiat aktif melakukan kerja amal itu.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama dua minggu untuk melakukan persiapan menganjurkan pasar percuma itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 10:54 AM