Khairul Hisham menunjukkan aplikasi pembayaran parkir, Padiyo yang menawarkan kredit RM50 secara percuma bermula hari ini sehingga 31 Mac apabila meletakkan kereta di Jalan Seruling. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


ORANG ramai yang meletakkan kereta di Jalan Seruling, Kangar, akan memperoleh kredit parkir RM50 secara percuma, mulai hari ini melalui aplikasi telefon pintar Padiyo bagi tempoh percubaan selama tiga bulan.

Aplikasi yang dibangunkan Thenar Technology Sdn Bhd itu adalah aplikasi telefon pintar untuk membayar caj meletak kereta tanpa memerlukan pengguna mencari mesin bayar dan peraga atau ejen jualan kupon letak kereta.

Pengurus Besar Kanannya, Khairul Hisham Hassan berkata, aplikasi itu tidak akan mengganti atau melupuskan sistem tempat letak kereta sedia ada, sebaliknya memberi pilihan kepada pengguna untuk menjimatkan masa mereka.

“Orang ramai boleh memuatnaik aplikasi ini di Play Store atau App Store, sebelum diberi kredit sebanyak RM50 secara percuma.

“Cara penggunaannya mudah, pengguna hanya perlu mengisi nombor kenderaan, nombor petak parkir dan tempoh masa.

“Melalui aplikasi ini, pengguna akan menerima notifikasi dalam tempoh lima minit sebelum tamat waktu meletakkan kenderaan bagi mengelak disaman penguat kuasa, malah pengguna boleh melanjutkan masa parkir melalui telefon tanpa perlu ke kenderaan masing-masing,” katanya selepas memberi penerangan kepada orang ramai mengenai aplikasi berkenaan di sekitar Jalan Seruling, hari ini.

Khairul Hisham berkata, aplikasi yang mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) itu hanyalah untuk percubaan selama tiga bulan sehingga 31 Mac ini.

“Selepas tempoh berkenaan MPK akan menilai sama ada mahu menggunakan aplikasi ini atau tidak.

“Jika MPK mahu meneruskannya, ia akan diperluas di kawasan lain tanpa mengganti atau melupuskan sistem tempat letak kereta sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, jika ia dilaksana kelak, pembayaran parkir boleh dibuat melalui kad debit atau kad kredit.

“Orang ramai yang mahu lebih penerangan boleh berjumpa saya atau wakil kami di sekitar Jalan Seruling. Kami berada di sepanjang kawasan parkir setiap hari selama tiga bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 8:04 PM