Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Melakukan latihan fizikal seawal jam 4 pagi antara kunci kejayaan Sarjan Shaharudin Hashim, 42, yang muncul juara acara larian KL International New Year Run 2018 kategori senior.

Anggota polis yang menyertai kategori Senior Half Marathon itu berjaya menamatkan lariannya sejauh 21 kilometer (KM) di sekitar ibu kota.

“Ia adalah kemenangan kali pertama sejak menyertainya pada 2016 kerana dua tahun sebelum ini saya hanya berada di tempat kedua.

“Alhamdulillah, dengan stamina dan latihan yang berterusan saya berjaya menamatkan larian hari ini,” katanya yang ditemui pada acara larian itu di Dataran Merdeka, semalam.

Menurut Shaharudin, selepas larian pada acara yang sama tahun lalu, dia terpaksa berehat selama setahun bagi memulihkan kecederaan pada kakinya.


SHAHARUDIN menunjukkan hadiah yang dimenangi pada acara KL International New Year Run 2018 kategori senior.

“Saya masih dalam proses pemulihan tetapi semangat saya berkobar-kobar untuk turut serta dalam larian ini walaupun acara kegemaran saya adalah 42km.

“Ia memerlukan latihan dan disiplin yang tinggi bagi membolehkan saya menyertai larian semula,” katanya yang melakukan latihan di sekitar padang Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Perdana.

Shaharudin yang ditemani isterinya, Safiah Jalil, 36, pada acara itu berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 dan trofi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, hampir 10,000 peserta menyertai larian tahun ini berbanding 8,000 orang pada 2017.


TIGA beranak turut menyertai larian.

“Jumlah yang memberangsangkan ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin sedar kepentingan untuk beriadah dan melakukan aktiviti yang menyihatkan malah ia dibuka untuk seisi keluarga.

“Tahun ini juga kita menerima penyertaan daripada 33 pelancong asing pelbagai negara termasuk Jepun, Australia, Filipina, Vietnam, Korea Selatan dan Kenya,” katanya.


PESERTA kurang upaya tidak melepaskan peluang berlari bersama 10,000 peserta, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 11:00 AM