PASUKAN SAR mengangkat mayat mangsa, semalam. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SIASATAN pasukan bomba mendapati punca tiga remaja lemas di Sungai Pedas, Rembau, semalam disebabkan mereka cuba menyelamatkan antara satu sama lain sebelum terjerlus ke dasar sungai.

Pengarah bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, ketiga-tiga mangsa, Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, Muhammad Syafiq Rosli, 15, Muhamad Alias M Sadri, 15 dan seorang rakan yang selamat, Haikal Najmi Azhar, 15 datang ke sungai itu 4 petang.

Katanya, sebaik tiba mereka menjala ikan dan mandi sebelum Haikal Najmi naik ke tebing.

"Mangsa yang selamat memberitahu ternampak Muhammad Iqqmal dibawa arus sebelum dua rakannya mahu membantu. Cubaan itu gagal apabila semua mereka terjerlus pada tanah lembut di dasar sungai," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga remaja itu hilang dari pandangan dan tenggelam.

"Pihak bomba menerima panggilan 6.40 petang mengerahkan 11 anggota ke lokasi. Kami dibantu 11 anggota polis, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebelum mayat Muhammad Iqqmal ditemui 10.03 malam, semalam.

"Mayat Muhammad Syafiq dan Muhamad Alias pula ditemui masing-masing pada 10.10 pagi dan 10.56 pagi hari ini," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Hadir sama adalah Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari.

Berita berkaitan:

Syafiq dan Alis ditemui

Nak luruh jantung tahu anak lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:40 PM