KEADAAN pelajar tingkat empat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam berhampiran Jalan Tun Razak dan persimpangan jalan Kebun Teh Lama, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan FB Community Roda Johor - CRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein


PELAJAR tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam berhampiran Jalan Tun Razak dan persimpangan jalan Kebun Teh Lama, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, mangsa Muhammad Haikal Ahmad, 16, dikatakan baru pulang dari sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan itu membabitkan Modenas Kriss ditunggang mangsa dengan sebuah van.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal mangsa yang datang dari arah pusat bandar dipercayai hendak membelok ke Jalan Kebun Teh Lama, manakala, van pula dari arah Skudai dan hendak ke pusat bandar.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila dua kenderaan ini bertembung di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala dan pemandu van berusia 54 tahun tidak cedera.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Shahurinain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 7:46 PM