DR Hassan menyampaikan sumbangan kepada Nur Zulaikha yang kehilangan bapa akibat ditanduk dan dipijak kerbau.
HM Digital

Shah Alam: Hanya rasa terkilan masih terpahat di hati Nur Zulaikha Bazarudin, 19, kerana tidak dapat pulang ke kampung ketika cuti biarpun mengetahui arwah bapanya berusaha melengkapkan masa depannya.

Pada 26 Disember tahun lalu, Bazarudin Yeop Yahaya, 59, maut ditanduk dan dipijak kerbau peliharaannya yang mahu dijual kerana mahu membantu urusan pengajian Nur Zulaikha.

Ketika kejadian, penuntut jurusan Asasi Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berada di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil.

Menceritakan semula tragedi itu, Nur Zulaikha berkata, dia tidak pulang ke kampungnya di Kampung Raja Songsang, Temerloh meskipun diberikan cuti lebih seminggu sempena sambutan Krismas dan tahun baru.

Menurutnya, dia berbuat demikian kerana simpati rakan serumahnya yang tidak dapat pulang ke Sarawak.

“Ketika kejadian menimpa arwah ayah, saya dan rakan serumah itu baru pulang makan malam di sekitar kampus.

“Saya terkejut dimaklumkan bapa saudara kira-kira jam 8 malam dan bergegas pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said di sini, semalam.

LAPORAN Harian Metro,28 Disember lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Bazarudin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di dada dan perut.

Dalam pada itu, Nur Zulaikha berkata, kali terakhir dia menemui arwah ketika cuti semester selama sebulan pada November tahun lalu.

“Ketika itu, saya memintanya wang bagi menampung perbelanjaan untuk semester baru dan tahu dia mahu menjual kerbaunya pada harga RM4,000.

“Sejak dari kecil, ayah menternak kerbau dan jarak kandangnya dari rumah kira-kira 10 minit dengan menaiki kereta,” katanya yang berazam menamatkan pengajian di peringkat asasi tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 8:55 AM