Muhamad Aiman Syafiq
Muhamad Aiman Syafiq
HM Digital

Kuala Krai: Keseronokan enam rakan bermain air di alur sungai dengan aksi menggelongsor berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, semalam.

Kejadian berlaku di alur sungai di ladang getah dekat Kampung Gajah, Manek Urai di sini, kira-kira jam 3.30 petang.

Muhamad Aiman Syafiq Baharudin, 13, ditemui lemas oleh penduduk kampung di dasar berkedalaman kira-kira 2.5 meter.

Difahamkan, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai itu dan rakannya ke kawasan berkenaan untuk bermain air, malah mereka turut menjadikan tebing berlumpur untuk menggelongsor ke dalam sungai itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali melakukan aksi itu, remaja berkenaan tidak timbul dan tiba-tiba hilang menyebabkan rakannya panik serta meminta tolong penduduk kampung.

Dia ditemui 15 minit selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Manek Urai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:05 AM