Semua mangsa ditemui selepas 18 jam operasi SAR. FOTO Ihsan APM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SELEPAS 18 jam terkandas di Hutan Pasir Berekit, Sungai Kechau di Lipis, 15 individu termasuk dua kanak-kanak yang mengikuti aktiviti rekreasi di hutan berkenaan akhirnya berjaya dibawa keluar kira-kira jam 3 petang hari ini.

Semua mangsa yang berusia lima hingga 56 tahun dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mereka yang ditemui dikenali adalah adik beradik Muiz Muzilysham, 10, dan Mukriz serta bapa mereka Muzilysham Mustafar, 43, yang berasal dari Kampung Kuala Keloi, Raub dan bertugas di Ibu Pejabat APM, Kuala Lumpur.

Mangsa lain ialah Mohd Nurshaharuddin Mohd Khidir, 48; Norfarif Atan, 50; Mohd Anwar Amir, 36; Mohd Ridzuan Samsury, 34; Mohd Husni Mat Lasar,42; Wan Mohamad Jamil Wan Yakub, 39; Redzuan Ghazali, 50; Mohd Zamri Zakaria, 56; Yaakub Yahya, 34; Mohd Nazri Abd Latif, 37; Mohd Azahari Othman, 33; dan Mohd Hafiz Rosnan, 34.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata kesemuanya ditemui kira-kira jam 3 petang tadi dan dalam keadaan selamat.

Katanya, kumpulan itu masuk ke hutan berkenaan pada Sabtu lalu untuk melakukan aktiviti rekreasi dan memancing namun tidak dapat berbuat demikian kerana hujan lebat.

“€œKetua kumpulan berkenaan, Amir Rosdan Ramli, 36, bersama seorang rakannya mengambil keputusan keluar dari kawasan itu bagi meminta bantuan dengan menumpang bot penduduk yang kebetulan datang memancing di kawasan berkenaan.

“€œDia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Padang Tengku kira-kira jam 8 malam tadi dan susulan itu satu operasi mencari dan menyelamat dilancarkan kira-kira jam 9.30 malam tadi,”€ katanya.

Katanya, operasi berkenaan terpaksa dihentikan kira-kira jam 1 pagi tadi berikutan keadaan semakin gelap.

“€œOperasi SAR disambung hari ini dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba membabitkan empat pegawai serta 25 anggota,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 7:38 PM