Zambry melihat kubu perlindungan bawah tanah yang dibina pada Perang Dunia Kedua berdekatan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
HM Digital

Ipoh: Kerajaan negeri akan meminta pihak Malaya Historical Group (MHG) dan Jabatan Warisan Negara meneruskan kajian lanjut penemuan kubu perlindungan bawah tanah peninggalan ketika Perang Dunia Kedua berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri berharap kajian ekskavasi untuk mendedahkan struktur kubu ini dan keluasan sebenarnya termasuk tahun ia dibina.

Menurutnya, kajian berkenaan perlu dilakukan kerana ia adalah satu penemuan berharga dalam sejarah negara dan berpotensi dijadikan antara lokasi tarikan pelancong.

“Saya difahamkan berdasarkan kepada pengamatan awal terhadap struktur kubu berkenaan, pihak penyelidik percaya ia digunakan oleh ahli keluarga serta tentera British untuk berlindung semasa serangan udara ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1940 dan 1941.

“Malah, ada juga pendapat mengatakan terdapat beberapa kubu lain dan bagi pihak kerajaan negeri, sekiranya ia berpotensi menjadikan tarikan pelancongan, kami akan bangunkan kawasan ini namun bergantung kepada pengesahan selanjutnya serta kajian lanjutan perlu dijalankan terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri struktur kubu perlindungan itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di sini semalam.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, kubu perlindungan bawah tanah dipercayai milik tentera British berusia 75 tahun yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan penyelenggaraan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 27 Disember lalu.

Kubu berukuran luas 9x9 meter persegi dengan ketinggian 2.5 meter dan terletak di bawah permukaan tanah ditemui oleh Ketua Penyelidik MHG, Shaharom Ahmad pada 27 Disember lalu.

Ia dipercayai mampu memuatkan seramai 30 hingga 40 orang dalam satu-satu masa ketika berlakunya serangan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:19 AM