Penduduk Perkampungan Bukit Rangin, Kuantan mula mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan selamat selepas kediaman mereka mula dinaiki air awal pagi tadi. FOTO Zulkepli Osman
Ahmad Rabiul Zulkifli


ENAM sekolah di Kemaman ditutup hari ini akibat banjir, sekali gus menjejaskan sesi persekolahan 2,333 murid dan 197 guru.

Penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, SK Padang Kubu, SK RKT Tayor, SK Seberang Tayor, SK Pusat Kemaman dan SK Bukit Mentok.

Semua sekolah berkenaan kecuali SK Bukit Mentop ditutup kerana laluan ke sekolah tidak dapat dilalui selepas kawasan sekitarnya dinaiki air.

SK Bukit Mentok pula ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa yang terjejas dengan bencana itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya berharap semua murid dan ibu bapa sentiasa peka dengan arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Penduduk diminta sentiasa mengikuti laporan semasa dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan melalui media,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga meminta murid yang tidak ke sekolah supaya tidak membahayakan diri dengan bermain banjir, sebaliknya sentiasa mengutamakan keselamatan pada setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 11:55 AM