Keadaan jalan di beberapa kawasan yang ditenggelami banjir di sekitar Membakut, Beaufort. FOTO Mohd Nazllie Zainul
Norasikin Daineh


JUMLAH sekolah yang ditutup di Sabah meningkat kepada 16 sekolah hari ini berbanding lapan sekolah semalam berikutan keadaan banjir di Membakut, Beaufort.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata, penutupan sekolah itu disebabkan laluan dan kawasan sekolah dinaiki air selain sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir di kawasan terjejas.

“Antara sekolah yang ditutup di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut, SK Sinoko, SK Kampung Bambangan, SK Lembah Poring, SK Jabang, SK Lago, SK Tamalang, SK Saint Patrick dan SK Bandau.

“Selain itu, SK Kampung Brunei, SK Bangkalalak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut 2 dan SMK Membakut serta dua sekolah di bawah PPD Papar iaitu SK Sumbiling dan SK Ulu Lumagar turut ditutup kerana kawasan sekolah dinaiki air manakala SMK Saint Patrick ditutup kerana dijadikan PPS bagi mangsa banjir di Membakut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan murid dan pelajar yang terjejas akibat penutupan sekolah itu seramai 3,073 orang.

“Ia membabitkan 226 guru dan 1,643 murid sekolah rendah manakala sekolah menengah pula membabitkan 146 guru dan 1,430 pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 12:12 PM