Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya hanya berurusan dengan isteri Aziz M Osman, Puteri Lily Lokman untuk pelancongan ke Korea, tetapi ia sudah pun dibatalkan pada 20 Disember lalu.

"Selepas itu, saya pulangkan semula wang pendahuluan RM100 untuk 25 orang. Saya hanya tahu mereka pergi juga ke sana, tetapi bukan melalui saya. Saya tidak ada kena mengena," kata Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36.

Dia adalah individu yang didakwa menipu pelakon dan penerbit Den Wahab serta Aziz berjumlah RM90,000 untuk pakej pelancongan ke Korea, 23 Disember lalu.

Katanya, selepas pembatalan dan pemulangan wang terbabit, dia sudah tidak ada kena mengena dengan kumpulan berkenaan.

"Saya tak kenal Den Wahab, tidak ada apa pun urusan dengan dia. Tindakan dia mengaitkan nama saya kononnya saya menipu itu tidak betul.

"Saya ada bukti invois atas nama Puteri Lily berjumlah RM72,334 kepada Arba Travel & Tours Sdn Bhd. Jadi saya tidak ada kaitan langsung.

"Saya juga tidak pernah berurusan dengan syarikat itu. Tetapi saya pula dikatakan menyamar sebagai pembantu Aziz untuk urusan pelancongan ini," katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Media semalam melaporkan Den Wahab dan Aziz mendedahkan mereka ditipu pengurus pelancongan sambilan sebaik tiba di Korea.

Mereka kemudian memberi tempoh seminggu kepada Farah untuk memulangkan semula wang atau berdepan tindakan undang-undang.

Farah berkata, dia akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis untuk menyiasat semua dakwaan itu dan sudah melantik peguam berhubung perkara terbabit.

"Saya berharap mereka yang tohmah saya tampil untuk menjernihkan keadaan kerana saya tidak bersalah.

"Bukan itu saja, mereka juga kata Datuk Rosyam Nor pernah menjadi mangsa selepas mengikuti pakej yang saya bawa sedangkan semuanya berjalan lancar. Boleh tanya Datuk Rosyam, itu bukan pakej melancong, tetapi sesi penggambaran," katanya.

Menurutnya, dia juga kesal dengan Den Wahab yang membuat tuduhan melulu sedangkan pelakon dan usahawan itu tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Tak wajar dia terus ‘tembak’ saya dan ugut saya melalui WhatsApp, dia tak tahu apa-apapun. Sepatutnya dia tanya Puteri Lily siapa sebenarnya yang bermasalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 1:46 PM
FARAH (kiri) menunjukkan invois pembayaran oleh Puteri Lily kepada Arba Travel & Tours sambil disaksikan sekretariat PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar (kanan). FOTO Yusmizal Dolah Aling