KEADAAN rumah Zanibar. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


KESEMPITAN hidup memaksa ibu tunggal, Zanibar Mohammad, 37, menjalani kehidupan serba kekurangan di rumah sewa di Jalan Kubur Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, di sini.

Zanibar berkata, keadaan rumah sewa yang dihuni sejak 10 tahun lalu semakin usang dan setiap kali hujan lebat, air hujan akan memasuki rumah berkenaan menerusi siling yang bocor.

Menurutnya, arwah ibunya, Mariam Omar, turut tinggal di rumah berkenaan, namun warga emas itu meninggal dunia empat tahun lalu ketika usia 71 tahun akibat sakit tua.

"Setiap kali hujan lebat, rumah saya yang disewa dengan kos RM200 setiap bulan terpaksa diletakkan lebih 10 baldi di ruang tamu, bilik tidur dan bilik air ketika hari hujan.

"Saya semakin bimbang masalah siling bocor akan menyebabkan siling runtuh.

"Hingga kini tiada sebarang kerja baik pulih dilakukan oleh pemilik rumah walaupun menyedari keadaan rumah boleh mengancam keselamatan," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berkata, buat masa ini dia tinggal di rumah itu bersama anak bongsu, Nur Haziqah Hanafiah, 10, manakala anak sulungnya, Noor Zahirah, 14, tinggal bersama keluarga angkat di Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

"Saya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak bercerai dengan suami pada 2008 dan buat masa kini saya menyara anak bongsu dengan pendapatan harian RM20 hasil membantu rakan berniaga.

"Saya cuba mendapatkan pekerjaan tetap namun ditolak berikutan keilatan pada kaki kanan saya akibat terbabit dalam kemalangan pada 2006. Berikutan itu, saya tidak mampu berdiri lama dan kaki mudah lenguh," katanya.

Zanibar berkata, hasil pendapatannya digunakan bagi membayar sewa rumah selain bil utiliti RM100 pada setiap bulan selain membiayai persekolahan anaknya.

Menurutnya, dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, dia tidak mampu mencari rumah sewa lain.

Katanya, dia nekad meneruskan kehidupan di rumah itu dan hanya mampu berdoa supaya dia dan anak bongsunya sentiasa dilindungi Allah SWT.

"Ada individu yang memandang rendah keluarga kami kerana kami hidup daif namun saya sentiasa memberi semangat kepada anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga.

"Saya juga tidak putus asa dan sentiasa berdoa supaya kehidupan saya mendapat sinar baru," katanya.

Zanibar berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada wakil jejak asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Nasir Ishak dan Pengerusi Kebajikan UMNO Parlimen Johor Bahru, Faridah Mustaffa.


Nasir Ishak menyampaikan sumbangan segera kepada Zanibar sambil disaksikan oleh Pengerusi Kebajikan UMNO Parlimen Johor Bahru, Faridah Mustaffa (dua dari kanan). FOTO Mary Victoria Dass

Nasir berkata, MAIJ menasihati wanita berkenaan berpindah ke kediaman lebih selamat dan selesa dan bersedia menawarkan bantuan bayaran pendahuluan rumah sewa.

Menurutnya, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan sara hidup sejumlah RM400 hingga RM500 sebulan bagi meringankan beban wanita berkenaan.

"Kami juga menyampaikan sumbangan segera kepada wanita berkenaan berbentuk wang tunai dan barangan dapur," katanya.

Sementara itu, Faridah berkata, pihaknya sedang mengesan rumah sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran bagi memindahkan ibu tunggal berkenaan dan anaknya dengan secepat mungkin.

"Kami sudah memintanya mengisi borang permohonan rumah PPR termasuk di kawasan Sri Stulang berhampiran Bakar Batu.

"Diharap ibu tunggal berkenaan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan bersemangat menaik taraf kehidupannya secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 3:57 PM