Qistina bersama neneknya, Fabilah. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


KEGAGALAN arwah ibu melunaskan bayaran bil hospital selepas bersalin mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Nur Qistina Qalisyah Abdullah tidak memiliki sijil kelahiran sekali gus menyukarkan urusan keluarga untuk mendaftarkan persekolahannya.

Kanak-kanak itu dijaga neneknya, Fabilah Daud, 54, selepas ibunya meninggal dunia, Julai tahun lalu akibat masalah pada perut manakala bapanya pula gagal dikesan sehingga kini.

Menurut Fabilah, dia hanya mengetahui status cucunya itu selepas dimaklumkan oleh arwah anaknya Faizuah Zainal Abidin, ketika sedang dirawat di hospital tidak lama sebelum meninggal dunia.

"Jadi sekarang saya sedang berusaha untuk uruskan permohonan sijil kelahiran Nur Qistina Qalisyah, kalau ditangguh saya khuatir keadaan akan menjadi semakin sulit.

"Sebagai nenek, saya sayang semua cucu dan mahu mereka menerima pendidikan sempurna," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Pangsa Al-Ihsan, Majlis Agama Islam Melaka, Tengkera, hari ini.

Terdahulu Fabilah menerima kunjungan Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka Amir Hamzah Aziz, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Norazle Sulaiman, Setiausaha Kerja MyPPP negeri Aznizam Mat dan Pegawai Khas Komuniti DUN Kota Laksamana Iskandar Loh Abdullah.

Sementara itu mengulas mengenai status kanak-kanak itu, Norazle berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memproses permohonan sijil kelahiran Nur Qistina Qalisyah.

"Selepas melakukan pemeriksaan dan semakan kami mendapati semua dokumen dan perkara-perkara lain diperlukan mencukupi. Tidak ada masalah dan kami uruskan segera hal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 7:15 PM