KEADAAN van keselamatan yang cuba dipecahkan dua lelaki dalam kejadian di Bukit Puchong disini, hari ini. FOTO NSTP
KEADAAN van keselamatan yang cuba dipecahkan dua lelaki dalam kejadian di Bukit Puchong disini, hari ini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN pemandu van keselamatan memecut ke arah balai polis berjaya menyelamatkan wang tunai RM100,000 daripada disamun dua lelaki dalam kejadian cubaan samun di Bukit Puchong, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, dua suspek menaiki Perodua MyVi bertindak melanggar dari arah belakang van keselamatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, pemandu van berkenaan berhenti di tepi jalan untuk berbincang tetapi suspek masih tidak berpuas hati.

Beliau berkata, pemandu van berkenaan kemudian ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kemalangan berkenaan.

"Bagaimanapun setibanya di lampu isyarat, kenderaan yang melanggar van itu turut berhenti sebelum dua suspek berusia 20-an menyerang van terbabit.

"Suspek menggunakan tukul untuk memecahkan cermin van itu namun gagal," katanya.

Muhammad Azlin berkata, pemandu van berkenaan kemudian bertindak memecut ke arah balai polis Bukit Puchong sebelum suspek melarikan diri.

"Suspek gagal menyamun van berkenaan dan polis kini giat mengesan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:53 PM