ANGGOTA bomba memindahkan beberapa penduduk yang dilanda banjir, di Kampung Baitam, di Membakut. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh


JUMLAH mangsa banjir di Membakut, Beaufort, setakat 9 malam ini meningkat kepada 590 orang berbanding 555 orang petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, pemindahan itu membabitkan 207 keluarga yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.

"Seramai 463 mangsa daripada 162 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Patrick dan 127 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan PPS Dewan Serbaguna Membakut.

"Dewan SMK Membakut 2 siap sedia digunakan sekiranya mangsa bertambah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamal berkata, cuaca ketika ini tidak hujan dan paras air di Sungai Membakut menurun kepada 6.58 meter iaitu berada di paras amaran setakat 8 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 10:00 PM