Kalidevi Mogan KumarappaSuraya Roslan dan Syanty Octavia Amry dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Wanita didakwa pakar ‘putar alam’ akhirnya dicekup anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek wanita berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 3 petang semalam berhubung dua laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Mutiara Damansara di sini, kelmarin.

“Wanita itu yang tiba di IPD Petaling Jaya bersama suaminya dengan tujuan menyerah diri sudah ditahan dan direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok (hari ini),” katanya.

Mohd Zani sebelum itu berkata, pihaknya mengenal pasti enam laporan dibuat mangsa berkaitan kes penipuan pakej pelancongan membabitkan suspek.


FARAH yang membelakangi kamera membuat aduan kepada sekretariat PPIM.

Menurutnya, dua laporan dibuat di daerah berkenaan dan masing-masing satu di daerah Dang Wangi, Gombak, Serdang dan di Seremban, Negeri Sembilan membabitkan 23 mangsa secara keseluruhan.

“Berdasarkan laporan diterima, suspek menggunakan modus operandi mempromosi pakej pelancongan ke Korea Selatan dengan tawaran harga yang menarik. Dia mendakwa dirinya mewakili agensi pelancongan.

“Apabila mangsa meminta tiket penerbangan, suspek memberi alasan kelewatan pembayaran ke pejabat ejen pelancongan di Seoul dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang lagi ke dalam akaun persendirian miliknya sebelum menyediakan tiket penerbangan.

“Sebaik tiba di Seoul, mangsa mendapati suspek tidak pernah membuat sebarang urusan tempahan hotel dan pakej pelancongan untuk mereka di Korea Selatan,” katanya.

Zani berkata, suspek turut tersenarai sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) berkaitan tujuh kes penipuan lain pada tahun lalu.

“Wanita terbabit pernah ditahan di Ampang atas kesalahan sama. Dia juga dituduh di mahkamah atas dua pertuduhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:43 AM