Rudy Syareme Sheriffudin


HUJAN berterusan lebih 12 jam menyebabkan beberapa lokasi sekitar Georgetown, Bukit Mertajam dan Butterworth dilanda banjir kilat, hari ini.

Hujan sejak 8 malam tadi menyebabkan air naik setinggi 0.1 hingga 0.3 meter.

Sehingga 9 pagi, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Agama Kafa Nahdatul Islah berhampiran Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam membabitkan lima orang daripada satu keluarga.

Jurucakap Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Timur Laut berkata, antara kawasan dilanda banjir sekitar Georgetown adalah di Kampung Masjid, Kampung Rawa, JalanP Ramlee, Lintang P Ramlee, Kampung Makam, hadapan Ibu Pejabat Polis Jalan Patani dan Jalan Kuantan.


BANJIR kilat di Jalan P Ramlee akibat hujan lebat. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, kedalaman air antara 0.1 hingga 0.3 meter.

“Punca banjir berlaku disebabkan hujan lebat berterusan dan sistem perparitan kampung tidak dapat menampung air larian permukaan.

"Cadangan penyelesaian banjir untuk jangka masa pendek adalah mengorek dan mendalamkan sungai, menaiktaraf tebing sungai, menjalankan kerja pembersihan dan penyelenggaraan serta memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran dan sungai sedia ada dan melaksanakan pembaikan segera ke atas semua struktur yang rosak di kawasan kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:46 AM