Hadzlihady Hassan


Georgetown: Mendakwa mengenali pegawai tinggi di Kementerian Dalam Negeri (KDN), seorang lelaki dikesan menipu kononnya boleh mendapatkan khidmat menyediakan permit pas residen bagi warga asing.

Bagaimanapun, helahnya terbongkar apabila mangsa yang menyerahkan wang proses mendapatkan permit itu membuat semakan di pejabat imigresen, namun mendapati tiada permohonan dilakukan suspek.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan dan susulan daripada itu polis menahan suspek yang berusia 45 tahun di Tesco E-Gate di sini, jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa berurusan dengan suspek sejak 14 Oktober 2017 untuk mendapatkan permit itu.


ANGGOTA polis mengiringi suspek untuk mendapatkan perintah reman di mahkamah Georgetown, semalam.

Beliau berkata, mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek yang mengaku mengenali pegawai tinggi di KDN dan dia menyerahkan wang.

“Mangsa memindahkan wang RM12,000 dan RM28,000 ke akaun suspek, masing-masing pada 16 Oktober dan 5 November tahun lalu.

“Mangsa ke pejabat imigresen untuk membuat semakan dan mendapati tiada permohonan permit dilakukan suspek,” katanya.

Abdul Ghani berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dan mengesyaki ditipu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, suspek yang bekerja di sebuah firma guaman dibawa ke mahkamah sebelum dibenarkan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:04 AM