MAYAT mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Debak untuk tindakan lanjut. FOTO ihsan JBPM
Khalid Latip


MAYAT remaja yang dibaham buaya ketika memancing bersama rakannya di Sungai Dit, Kampung Melayu Dit, Debak, Betong, Rabu lalu ditemui hari ini.

Abang Mohamad Haikal Abang Suip, 13, ditemui pada 10.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya.

Difahamkan, hanya badan mangsa tanpa kepala, kaki dan tangan ditemui terapung berhampiran Kampung Buda.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat operasi sementara SAR sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Debak.

Menurutnya, operasi SAR yang masuk hari kedua dimulakan pada 8.15 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan dibantu penduduk kampung.

"Mayat mangsa ditemui pasukan SAR berhampiran Kampung Buda dan dibawa ke pusat operasi sementara sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan hari ini susulan penemuan mangsa," katanya.

Dalam kejadian 5.30 petang, Rabu lalu, mangsa bersama rakannya memancing di tebing sungai berkenaan sebelum seekor buaya menyambar kaki kiri mangsa dan menariknya ke tengah sungai.

Rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian bergegas memaklumkan kepada keluarga sebelum polis dan bomba menjalankan operasi SAR keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 2:45 PM