DUA remaja yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR ditahan selepas berlumba dari persimpangan lampu isyarat Kepala Batas menghala ke Balai Polis Kepala Batas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LAGAK dua mat rempit menunggang motosikal Yamaha 125ZR secara berbahaya dan berlumba sesama sendiri sebanyak dua pusingan di Kepala Batas, Alor Setar sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Lelaki terbabit berusia 18 dan 20 tahun ditahan 2.30 pagi selepas berlumba dari persimpangan lampu isyarat Kepala Batas menghala ke Balai Polis Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, Ops Samseng Jalanan itu dijalankan 12 tengah malam sehingga 4 pagi di sekitar Bandaraya Alor Setar.

Menurutnya, dalam operasi itu polis mengesan dua penunggang motosikal Yamaha 125ZR warna hitam dan merah berlumba sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Susulan itu, kita menahan kedua-dua mereka yang berasal dari Kepala Batas dan menyita motosikal untuk tindakan selanjutnya," katanya.

"Suspek pertama berusia 18 tahun itu bekerja buruh kontrak manakala suspek berusia 20 tahun bekerja penjual daging, mengambil kesempatan malam minggu di negeri ini melakukan kegiatan itu," katanya.

Mohd Rozi berkata, mereka ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam operasi itu juga sebanyak 60 motosikal diperiksa dan 69 saman membabitkan 79 pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.

"Polis akan terus menjalankan operasi ini dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras gejala samseng jalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 4:49 PM