BOT nelayan yang ditahan APMM kerana melanggar syarat lesen. FOTO ihsam APMM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tiga nelayan menangkap ikan di luar waktu ditetapkan mengundang padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Pangkalan Maritim Kuala Kedah tiga Batu Nautika Barat Kuala Kedah, hari ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, APMM mengesan bot nelayan jenis bot tangguk siput yang mencurigakan pada 3.05 pagi sebelum menahannya 15 minit kemudian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga nelayan berusia 27 hingga 45 tahun berada di dalam bot itu dan siasatan mendapati mereka melakukan dua kesalahan.

"Kesalahan pertama kerana melanggar syarat lesen apabila beroperasi di luar waktu yang ditetapkan di mana Jabatan Perikanan cuma membenarkan mereka beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang.

"Manakala kesalahan kedua yang dilakukan adalah tidak mengusahakan sendiri bot itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, tiada hasil laut di atas bot itu kerana baru sahaja memulakan aktiviti sebelum ditahan bot APMM yang melakukan rondaan.

"Bot yang ditahan kemudian dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Orang ramai diharap segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini," katanya.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah ditalian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 5:01 PM