Pemenang hadiah utama, Nur Firdaus Seet Abdullah (kiri) dan Muhammad Fauzan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 menerusi kempen The Only Game Where Everybody Wins. FOTO Aizuddin Saad
Pemenang hadiah utama, Nur Firdaus Seet Abdullah (kiri) dan Muhammad Fauzan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 menerusi kempen The Only Game Where Everybody Wins. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Aizat Shamsuddin


TIDAK sampai sebulan kempen The Only Game Where Everybody Wins dilancarkan, sejumlah enam juta baucar tunai dan hadiah yang ditawarkan kepada pelanggan Petronas Dagangan Berhad (PDB) habis ditebus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, beliau tidak menjangkakan sambutan menggalakkan diterima sejak kempen ini dijalankan bermula 12 Disember lalu.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan di atas sokongan dan penyertaan yang menggalakkan sepanjang kempen akhir tahun ini berlangsung.

“Semua baucar yang ditawarkan habis ditebus pelanggan menyebabkan kempen ini ditamatkan lebih awal,” katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman lapan pemenang bertuah The Only Game Where Everybody Win yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Lapan pemenang terbabit berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500, RM1,000 dan RM5,000 selain telefon pintar serta baucar Zalora bernilai RM1,000.

Hadir sama, Naib Presiden Pemasaran Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir dan Ketua Bahagian Perniagaan Peruncitan PDB, Aadrin Azly.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, PDB mengumumkan pemberian enam kali mata ganjaran Kad Mesra kepada pelanggan.

Tawaran terbabit diberikan dalam setiap pembelian di 1,000 stesen Petronas dan 750 Kedai Mesra.

Kempen itu bermula 6 hingga 12 Januari ini.

Sementara itu, pemenang, Muhammad Fauzan Mohamad Sallehhan, 26, terkejut kerana memenangi hadiah wang tunai RM5,000 menerusi kempen The Only Game Where Everybody Wins.

Dia berkata, ini adalah kali pertama memenangi hadiah wang tunai sebesar ini.

“Sepanjang kempen ini berlangsung, saya berjaya mendapat beberapa baucar lain yang ditawarkan Petronas. Namun tidak menyangka berjaya mendapat hadiah utama, wang tunai RM5,000 yang ditawarkan dalam kempen ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 7:56 PM