ABDUL Halim pasang impian membuka galeri lukisan satu hari nanti.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.myKuala

Terengganu: Dulu dia menayangkan tubuh sasanya di depan khalayak ramai namun kini bekas Mr Malaysia, Abdul Halim Budin, 58, lebih selesa mempamerkan lukisan cat minyak dihasilkannya untuk tontonan.

Abdul Halim yang memenangi kejohanan berkenaan dalam kategori bantam weight sebanyak empat kali sejak 1997 hingga 2003 berkata, dia tidak pernah mendapat latihan formal atau mengikuti kelas melukis namun sejak enam bulan lalu dia sudah menghasilkan 13 lukisan pelbagai motif.

“Latihan angkat beban di gimnasium sudah sebati dengan kehidupan saya namun pada usia sekarang, aktiviti melukis lebih sesuai dengan jiwa.

“Saya hanya belajar melukis ketika di sekolah menengah dan selebihnya hanya melalui YouTube. Karya saya mengikut gerak hati dengan teknik lukisan yang diilhamkan sendiri tanpa berpandukan teknik sebenar yang biasa digunakan pelukis profesional,” katanya di sini.

Menurutnya yang menetap di Desa Tun Razak, Cheras, pada mulanya dia hanya suka-suka menyiapkan lukisan pertama bermotifkan pemandangan pada musim sejuk sebelum memuat naik karya itu di Facebook.


ANTARA karya lukisan cat minyak berlatarkan pemandangan.

“Tak sangka pula ramai memberikan komen positif, malah ada yang memberi dorongan supaya saya meneruskan hobi itu.

“Bermula dari situ, saya mula melukis setiap kali mempunyai masa lapang dan pernah beberapa kenalan berhajat untuk membelinya.

“Namun saya tidak menjualnya dulu kerana semua lukisan itu akan dipamerkan di Hotel Alami, Shah Alam pada 13 hingga 14 Januari ini,” katanya.

Menurutnya, peralihan bidang itu berlaku disebabkan faktor umur selain minat yang mendalam.

“Saya hanya mengambil masa sebulan untuk menguasai teknik lukisan menggunakan cat minyak dan setiap bulan saya sasarkan untuk menyiapkan dua lukisan,” katanya yang berhajat membuka galeri lukisan satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:38 AM