Siti Hadijah merawat suami dengan kasih sayang seraya Khairul lebih bersemangat untuk sembuh.
Mohd Nasif Badruddin

Bangi: “Saya seorang juruterapi, kalau tak bantu suami sendiri rugilah, sedangkan ramai orang lain boleh baik dengan khidmat saya ini,” kata pemilik Maju Therapy Zone Siti Hadijah Abu Bakar, 43, yang memulihkan suaminya Khairul Fauzi Zainuddin, 45, daripada penyakit angin ahmar secara berperingkat lebih tiga bulan lalu.

Pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan itu mula diuji apabila Khairul Fauzi diserang angin ahmar pada 16 Ogos 2017 yang menyebabkan seluruh anggota badannya tidak dapat bergerak langsung.

Siti Hadijah berkata, pada mulanya dia seakan-akan hilang punca dan tertekan, namun apabila mengenangkan lima anak berusia dua hingga 14 tahun dan tanggungjawab menjaga keluarga kini terletak di bahunya, terdetik rasa bersemangat di hatinya.

Katanya, kekuatan dirinya juga timbul apabila teringat ceramah seorang ustaz di televisyen mengenai seorang anak yang menjaga ibunya keuzuran sehingga sanggup menadah muntah orang tuanya dengan jubah putih dan membersihkan najis serta sering mengucapkan terima kasih kerana memberinya syurga.

Menurutnya, selepas wanita itu meninggal dunia, anak itu menangis di masjid sehingga dia meninggal dunia dalam keadaan bersujud kepada Allah.

“Ditakdirkan selepas itu, suami saya jatuh sakit dan mengingatkan ceramah itu yang menjadi motivasi diri saya untuk kuat menghadapi cabaran.

“Kalau anak tidak desak saya buka televisyen sewaktu ceramah ustaz ketika itu, mungkin saya tidak sekuat sekarang.

“Saya tahu Allah bagi suami sakit sebab Allah nak bagi ujian dan syurga buat saya,” katanya ketika diraikan pada majlis makan malam bersama pelakon Fizo Omar yang diminati suaminya di restoran FizoMawar Kitchen di sini, malam kelmarin.

Temu bual berkenaan dilakukan hasil kerjasama bersama TV9.


Fizo (tengah) beramah mesra dengan Siti Hadijah dan Khairul Fauzi pada majlis makan malam di Restoran Fizomawar.

Siti Hadijah berkata, pada mulanya suaminya menjalani rawatan akupuntur di Hospital Tung Shin selama sebulan dan pada hari pertama doktor mencucuk jarum pada lidah Khairul Fauzi, dia menunjukkan reaksi terjelir serta mula bersuara.

Katanya, selepas itu dia membawa suaminya pulang ke rumah mereka di Cheras dan memulakan rawatan fisioterapi bersendirian sehingga dapat menggerakkan badan dan mengenali orang sekeliling.

Menurutnya, dia melakukan fisioterapi dengan mengurut seluruh badan menggunakan minyak kepada suaminya di katil pada jam 3 pagi hingga ke Subuh kerana tidak dapat tidur malam sehinggalah apabila dia membuat urutan di muka, barulah suaminya dapat tidur lena.

“Apa yang saya buat rawatan paling berkesan adalah kasih sayang. Apabila rawat dengan kasih sayang, suami rasa ada orang sayang dan mampu membantunya, jadi dia juga ada semangat untuk sembuh.

“Saya selalu beritahu anak supaya berkomunikasi dengan ayah mereka dan cium serta salam ayah sebelum keluar rumah selain berdoa supaya cepat sembuh,” katanya.

Katanya, walaupun dua anaknya juga OKU cacat penglihatan, namun mereka dapat belajar dengan baik dan menempatkan diri di tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub, Pahang manakala seorang lagi akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:27 AM