SAZALI (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Azhar Ramli
Aizat Sharif


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM20,000 terhadap koperal polis atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah enam tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li memutuskan demikian selepas menolak rayuan tertuduh, Sazali Hashim, 58, atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 24 Julai 2016.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Sazali yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kuah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Langkawi didakwa meminta suapan wang tunai bernilai RM150 daripada Mohd Asri Bulat agar tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Asri Bulat yang memiliki air ketum dan untuk memulangkan semula kad pengenalan ketika sekatan jalan raya di Jalan Batu Asah, Langkawi pada 18 Oktober 2012, antara 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperoleh RM150 secara rasuah daripada Mohd Asri Bulat bertempat di Restoran Selihah Seafood (Tom Yam), Langkawi, kira-kira 7 malam pada hari yang sama .

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan oleh A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:23 PM