PROSES menghantar semua mangsa pulang dilakukan oleh APM. FOTO ihsan APM
Norasikin Daineh


TIGA Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Membakut, Beaufort, ditutup 3 petang hari ini, berikutan banjir di daerah itu mulai surut.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman berkata, 637 mangsa banjir daripada 221 keluarga dihantar pulang ke rumah masing-masing.

"Penduduk yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Patrick, bangunan KAFA dan Dewan Serbaguna Membakut kini dibenarkan pulang selepas keadaan banjir di daerah ini surut.

"Proses menghantar pulang semua mangsa dilakukan sejak 11 pagi tadi dengan bantuan pelbagai pihak termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain," katanya.

Mohd Shaid berkata, paras air di Sungai Membakut semakin menurun bagaimanapun, cuaca ketika ini tidak menentu.

"Pihak kita sentiasa bersedia untuk membuka semula PPS sekiranya banjir berlaku lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:30 PM