Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Chan Teck Paing menunjukkan statistik jumlah kerugian RM4.6 juta akibat penipuan Macau Scam tahun lalu. Foto Muhaamad Hafis Nawawi.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SEPANJANG 2017, Kedah mencatatkan kerugian RM4.6 juta angkara 134 kes penipuan Macau Scam.

Mangsanya pula terdiri daripada warga tempatan membabitkan pelbagai latar belakang pekerjaan selain suri rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati Macau Scam turut merekrut anak tempatan membabitkan kaum Melayu bagi memperdaya mangsa.

“Statistik tahun lalu menunjukkan 93 orang Melayu menjadi mangsa disusuli 34 kaum Cina dan tujuh kaum India.

“Sindiket yang beroperasi di negara jiran ini menunjukkan peralihan trend di mana sebelum ini, sebahagian besar mangsa terdiri daripada kaum Cina namun sejak pertengahan tahun lalu, ia berubah apabila kaum Melayu mencatatkan paling ramai mangsa.

“Mangsa membabitkan ahli perniagaan, guru, suri rumah dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Chan berkata, 63 individu yang terbabit dengan Macau Scam ditahan pihaknya tahun lalu dan empat individu pada tahun ini.

Warga tempatan yang direkrut menjadi ahli turut digunakan sindiket untuk membuka akaun bagi memindahkan wang mangsa.

“Selain itu, 18 laporan polis turut diterima bagi tempoh Disember 2017 hingga bulan ini namun 15 daripadanya tidak memindahkan wang diminta suspek berikutan menyedari ditipu malah ada yang dinasihati pihak bank ketika mahu memindahkan wang.

“Bagi tempoh Disember hingga Januari ini, tiga wanita terdiri daripada dua ahli perniagaan dan seorang kakitangan hotel kerugian RM32,000 selepas diperdaya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan sindiket ini yang kini turut menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

kastam

“Mereka mula menyamar sebagai pegawai kastam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan mendakwa mangsa memiliki telefon bimbit yang dibawa masuk tanpa cukai.

“Sehubungan itu, mangsa perlu membayar sejumlah wang bagi membolehkan barangan berkenaan dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 4:23 PM