PENTERNAK menempatkan lembu mereka di tepi jalan Batu Balik.
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Tindakan meletakkan ternakan di tepi Jalan Batu Balik di sini, terpaksa dilakukan penternak di daerah ini bagi menyelamatkan lembu mereka daripada kesejukan dan lemas akibat ditenggelami banjir.

Bagi memastikan ternakan tidak bergerak bebas dan berkumpul di atas jalan pada waktu malam hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, penternak membina kandang sementara termasuk menyediakan pagar elektrik.

Penternak Mazlan Ali, 44, berkata, dia mendapat kemudahan pagar besi mudah alih yang dipinjamkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang untuk mengurung lebih 80 lembu ternakannya di Kampung Sungai Gangchong di sini.

Menurutnya, tindakan memindahkan ternakan ke tepi jalan utama dilakukan selepas kawasan padang ragut dan kandang ditenggelami banjir.

Katanya, sudah lebih seminggu lembu ternakannya berada dalam kandang sementara yang perlu disediakan makanan dan minuman dua kali sehari, selain pemeriksaan kesihatan setiap hari.

“Pada musim tengkujuh ini saya kehilangan 20 lembu dewasa dan anak yang gagal dikesan dalam kawasan padang ragut. Mungkin sudah dihanyutkan banjir atau mati kesejukan apabila tiada tempat berteduh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPV daerah Mohd Azmi Mat Daud berkata, pihaknya menyediakan bantuan makanan palet sebanyak dua tan kepada 500 lembu dan kambing milik 14 penternak yang terjejas akibat banjir.

“Seramai 300 penternak lembu, kambing dan kerbau membabitkan 4,000 ternakan di daerah ini terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 5:37 AM