Muhammad Zaidi Yunos, 26, beralamat terakhir di Kampung Pernu diminta tampil membantu siasatan kes kemalangan maut. FOTO ihsan polis.
Mohd Hilmie Hussin


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin meminta seorang lelaki tampil bagi membantu siasatan membabitkan kemalangan maut yang berlaku di Umbai, Jasin, Januari 2015.

Pada kejadian 23 Januari itu, empat wanita menaiki Perodua Kancil maut selepas kereta mereka dirempuh sebuah Proton Perdana.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, saksi, Muhammad Zaidi Yunos, 26, yang beralamat terakhir di Kampung Pernu di sini, gagal dikesan.

“Kehadiran Muhammad Zaidi mampu membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami sudah mengesannya di alamat terakhir namun gagal menemuinya kerana dipercayai sudah berpindah.

“Bagaimanapun, kami percaya Muhammad Zaidi masih berada dalam negara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Zaidi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor G Ganesan di talian 019-2138966 atau menghubungi Bahagian Siasatan Trafik IPD Jasin di talian 06-5292222 sambungan 260.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:31 PM