Muhammad Noor menunjukkan buku rekod kesihatan dan perkembangan kanak-kanak serta kad prenatal ibu & kelahiran bayi miliknya. FOTO Khairunisah Lokman
Shaiffulazhar Misri


IMPIAN Muhammad Noor Ikhwan Abdul Talib, 22, menjadi ahli bomba terbantut berikutan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan, sekali gus tidak melayakkan pemuda itu memohon sebarang jawatan dalam perkhidmatan awam.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu berkata, masalah pendaftaran dokumen pengenalan dirinya disebabkan ibunya seorang warga Singapura menghilangkan diri ketika dia masih kecil manakala bapanya meninggal dunia pada 2015.

Menurut Muhammad Noor Ikhwan, kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dia kerap berdepan masalah ketika berurusan dengan jabatan kerajaan, namun bernasib baik kerana adik-beradik lain berusia 30, 33, 35 dan 36 tahun memiliki MyKad sah banyak membantunya.

Katanya, selepas bapanya meninggal dunia dia tinggal bersama abangnya di Lubok China, Masjid Tanah dan mula berusaha memohon MyKad berikutan sukar mendapatkan pekerjaan.

"Saya bersekolah secara tumpang sampai tingkatan lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama seperti rakan sekelas lain. Namun tidak boleh mengambil slip keputusan SPM berikutan tidak memiliki MyKad.

"Syukur kerana sepanjang hidup ini, saya tidak menghidap sebarang masalah kesihatan serius, jika tidak pasti saya berdepan pelbagai masalah untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (PEMBELA BN) Melaka di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, hari ini.

Pemuda itu berkata, dengan bantuan adik-beradik lain mereka berjaya mengesan doktor menyambut kelahirannya selain menyediakan dokumen sokongan bagi urusan permohonan daftar kelahiran.

Pengarah PEMBELA BN Melaka Amir Hamzah Ab Aziz berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya mendapati masalah pemuda itu berpunca daripada kegagalan arwah bapanya melunaskan tunggakan bil hospital berikutan mengalami masalah kewangan.

"Abangnya berusaha mendaftarkan pemuda ini namun permohonan awal dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat diproses berikutan tidak lengkap selain memerlukan penganjur dan saksi," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Melaka Norazlee Sulaiman berkata, pihaknya akan memproses permohonan pemuda itu secepat mungkin berikutan semua dokumen diperlukan kini sudah lengkap.

"Kami akan lakukan semakan untuk dapatkan pengesahan semula sijil nikah ibu bapa pemuda ini dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan melakukan ujian asid deosiribonukleik (DNA) jika ada keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 7:24 PM